Pages

Thursday 25 August 2011

Selamat Menyambut Ketibaan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi !!!



Salam Aidilfitri,
Bercerita berkenaan kemeriahan Aidilfitri, saya amat merindui sambutan bulan Syawal ketika di zaman kanak-kanak. Masih segar dalam ingatan bagaimana pada zaman itu saya bersama rakan-rakan berkunjung ke semua rumah orang kampung sama ada dikenali ataupun tidak sehingga perut meragam kerana makan pelbagai makanan yang dihidangkan. Paling diingati adalah apabila balik sahaja daripada solat sunat Aidilfitri saya dan rakan terus ingin berkunjung ke rumah orang kampung untuk beraya dan malangnya dihalau oleh tuan rumah kerana masih belum bersedia untuk menghidangkan apa-apa. :) Keseronokan yang lain sudah semestinya apabila mendapat wang raya daripada tuan rumah. Di samping itu, keterujaan bermain mercun sudah pasti tidak dilupakan. Kemeriahannya cukup terasa. Masa itu, para anak-anak tidak disogokkan dengan siaran televisyen kerana kehangatan raya lebih bermakna disambut bersama rakan-rakan yang sentiasa melakukan kunjungan ke rumah-rumah untuk beraya.
Apabila menginjak kaki ke alam persekolahan, saya amat menyukai mengirim kad-kad raya kepada para guru dan rakan-rakan. Pada masa tersebut, setiap kad yang diberi akan dibalas oleh rakan-rakan dengan ucapan yang jika dibaca pada umur sekarang, mungkin ia satu perkara yang melucukan. Kad-kad yang dibalas akan dikumpul bersama kad-kad yang diterima daripada ibu dan ayah, kakak dan abang. Pada malam raya, kami beradik akan menggunakan kreativiti yang ada untuk mengubah dan menampal kad-kad raya tersebut di dinding rumah sebagai menambahkan seri dan suasana raya.
Kini, ketika umur sudahpun menginjak dewasa, saya tidak pasti adakah kanak-kanak sekarang masih berpeluang menyambut Aidilfitri sebagaimana masa yang lalu. Jika tidak, ini satu situasi yang merugikan. Semuanya mungkin disebabkan oleh perubahan zaman yang kini lebih banyak kepada kemajuan teknologi sehingga mencetuskan satu revolusi perubahan dalam gaya hidup masyarakat kini. Apa yang dapat diperhatikan, kini masyarakat lebih gemar beraya di rumah dengan berhibur menonton pelbagai aneka rancangan hiburan di televisyen. Tidak ketinggalan, masyarakat kini juga lebih suka mengucapkan salam aidilfitri kepada rakan-rakan dan sanak saudara hanya melalui kiriman SMS dan email sahaja. Lebih-lebih lagi kini masyarakat kita yang terpengaruh dengan kelazatan ber’facebook’ yang segalanya mudah, ringkas dan cepat.
Semoga kemeriahan Aidilfitri kembali seperti dahulu pada masa akan datang.
Akhir kata, semoga ceria dan gembira ketika menyambut lebaran kali ini bersama keluarga, saudara mara dan rakan-rakan. Lupakan segala sengketa dan bermaaf-maafan di bulan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.
SALAM AIDILFITRI,  MAAF ZAHIR DAN BATIN .


1 comment:

  1. Ramadhan semakin hampir melabuhkan tirainya. Tidak lama lagi Syawal menjelma menandakan tibanya sambutan Aidilfitri. Bermulalah umat Islam seluruh dunia meraikan kemenangan setelah berpuasa sebulan dan mengerjakan amal ibadat sepanjang bulan suci itu.Semoga bulan mulia ini diberkati dengan keimanan yang tinggi, dimurahkan rezeki dan dilindungi oleh-Nya.

    ReplyDelete